PAS Selangor Nafi Sokong Azmin Terajui PN, Sangkal Dakwaan Afif

SHAH ALAM: PAS Selangor menegaskan tidak pernah membuat sebarang keputusan rasmi untuk menyokong pelantikan semula Datuk Seri Azmin Ali sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Afif Bahardin sebelum ini tidak mencerminkan pendirian sebenar parti di peringkat negeri.

Menurutnya, tiada sebarang ketetapan dibuat dalam mana-mana mesyuarat rasmi PAS Selangor berhubung sokongan terhadap Azmin, sekali gus menolak dakwaan bahawa wujud persetujuan untuk mengekalkan kepimpinan sedia ada dalam PN Selangor.

“Tiada keputusan rasmi dibuat oleh PAS Selangor untuk menyokong Azmin Ali mengetuai PN negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Afif dilaporkan mendakwa PAS Selangor bersetuju untuk mengekalkan status quo dengan membenarkan Azmin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, terus menerajui PN Selangor.

Kenyataan itu muncul di tengah-tengah perbincangan dalaman gabungan berkenaan mengenai kepimpinan negeri.

Mengulas lanjut, Afif turut menyifatkan pandangan Bendahari PAS, Datuk Iskandar Samad, yang mencadangkan PAS mengetuai PN Selangor sebagai pandangan terpencil.

Beliau juga mendakwa PAS negeri menyatakan hasrat untuk mengekalkan susunan sedia ada demi kestabilan gabungan itu.

Bagaimanapun, Sukri menegaskan pandangan tersebut hanyalah tafsiran individu dan bukan keputusan rasmi parti.

Malah, beliau berkata suara akar umbi PAS di Selangor jelas mahukan parti itu diberi peranan lebih besar untuk memimpin PN negeri, berdasarkan kekuatan gerak kerja serta konsistensi yang ditunjukkan selama ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pelantikan kepimpinan PN negeri terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa pengerusi PN pusat.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan pengerusi PN untuk membuat keputusan terbaik selepas mengambil kira pandangan semua pihak termasuk akar umbi,” katanya.

Tambah beliau, keutamaan PAS Selangor ketika ini adalah untuk terus memperjuangkan isu rakyat dan memainkan peranan sebagai suara yang lantang demi kepentingan masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles