PUNCAK ALAM: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dihanyutkan arus deras akhirnya terjawab apabila mangsa ditemui lemas hari ini, selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Mayat mangsa, Khairil Izani Khaizalullinudin, ditemui terapung di sebatang sungai di Sungai Buloh kira-kira pukul 1 tengah hari, sekitar 10 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh ke dalam longkang di Bandar Puncak Alam.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Samsol Maarif Saibani memaklumkan, penemuan itu dibuat oleh pasukan penyelamat melibatkan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama yang menjalankan pencarian di kawasan sungai berkenaan.
Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian, berbaju cerah serta berseluar hitam.
“Mayat mangsa akan dihantar ke Unit Forensik Hospital UiTM untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kes berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras susulan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan.










