UMNO Perlu Jadi Parti Berorientasikan Dasar, Bukan Sekadar Sentimen – Ahmad Razif

​KUALA LUMPUR: UMNO perlu berubah menjadi sebuah parti berorientasikan dasar (policy-based organization) yang mementingkan keupayaan memerintah dan bukan sekadar menaruh harapan kepada sentimen politik semata-mata.

​Perwakilan Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman berkata, menang pilihan raya hanyalah satu proses, namun kemampuan untuk memerintah dengan cemerlang merupakan satu amanah yang memerlukan persediaan rapi serta dasar yang kukuh.

​Menurut beliau, keupayaan tersebut tidak boleh dibina secara tergesa-gesa selepas keputusan pilihan raya diumumkan, sebaliknya perlu dizahirkan lebih awal melalui penguasaan pelbagai isu penting rakyat seperti ekonomi, pendidikan, teknologi, dan kebajikan.

​”Menang memerlukan sokongan rakyat, tetapi memerintah memerlukan keupayaan. Dan keupayaan itu tidak boleh dibina dalam masa beberapa minggu selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

​”Ia mesti dibina lebih awal. Kita mesti mempunyai orang yang boleh berbicara tentang ekonomi, pendidikan, kesihatan, kecerdasan buatan (AI), data center, pertanian, hingga kepada isu infrastruktur dan alam sekitar,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Perdagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Ahmad Razif yang juga mantan Menteri Besar Terengganu menepis tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa parti itu sudah tidak relevan dengan senario politik semasa.

​Jelas beliau, lima dinamika politik baharu menuju politik matang yang digariskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuktikan parti itu sentiasa peka dan kebal dalam memahami kehendak serta aspirasi rakyat.

​”Dinamika ini adalah hasil daripada kepekaan Presiden dalam memahami denyu nadi rakyat, mendengar suara mereka, menyelami keresahan serta memahami harapan mereka.

​”Ini sekali gus menyangkal dakwaan mereka yang iri hati atau tidak suka kepada UMNO yang menyatakan parti ini sudah tidak relevan dan tidak sesuai dengan zaman sekarang,” tegasnya.

​Dalam pada itu, beliau turut memuji prestasi barisan Menteri dan Timbalan Menteri daripada UMNO yang membuktikan keupayaan cemerlang dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

​Sebagai contoh, beliau menyentuh usaha Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menerajui penggubalan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (One Higher Education Act) bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

​”Usaha merangka undang-undang baharu ini bukti politik prestasi yang sebenar. Beliau menubuhkan jawatankuasa bebas untuk mengkaji implikasi pemansuhan AUKU kerana ia bukan sahaja melibatkan mahasiswa tetapi merupakan ‘ibu’ kepada pentadbiran universiti awam di Malaysia.

​”Sebab itu kita perlu sebut dan iktiraf bahawa menteri dan timbalan menteri daripada UMNO adalah kelompok yang terbaik dalam memberikan keyakinan semula kepada pengundi,” katanya.

​Terdahulu, Ahmad Razif memulakan ucapannya dengan menyahut pantun perwakilan sebelum menggariskan harapan agar kerangka strategik parti terus disebarluaskan ke peringkat akar umbi demi mengembalikan keyakinan gelombang biru di peringkat nasional.

BBerkaitan

Latest articles