KUALA LUMPUR — Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii menegaskan parti itu kekal tenang dan berdisiplin dalam berdepan serangan serta tekanan politik, berbeza dengan pendekatan sesetengah parti lain.
Menurut beliau, ketika pelbagai pihak dilihat “kelam-kabut” mengkritik UMNO, parti itu memilih untuk tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan, sebaliknya mengekalkan tertib dalam membuat keputusan.
“Apabila berlaku krisis politik, kita tidak melihat pimpinan UMNO berlumba-lumba tampil ke hadapan menamakan diri sebagai wakil parti untuk mengeluarkan kenyataan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Razlan yang juga Ketua Umno Bahagian Seputeh berkata, kepimpinan tertinggi parti termasuk Presiden dan Timbalan Presiden tidak bersikap gelojoh, manakala Naib-Naib Presiden, Setiausaha Agung serta barisan MKT turut kekal konsisten dan tidak melatah dalam mengulas sesuatu isu.
Beliau menjelaskan keadaan itu mencerminkan disiplin dalaman parti yang masih kukuh, dengan setiap keputusan dibuat melalui proses musyawarah.
Mengulas krisis penarikan sokongan UMNO terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Razlan berkata kepimpinan tertinggi parti telah menjemput pimpinan UMNO negeri untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai situasi politik semasa.
“Kita dengar, kita teliti dan kita fahami sebelum membuat keputusan secara bijaksana serta muafakat, selagi ia tidak bertentangan dengan perjuangan asas parti,” katanya.
Beliau menambah, pendekatan tersebut membezakan UMNO sebagai parti yang matang dalam politik berbanding pihak lain yang menurutnya hanya membuat kenyataan untuk meraih perhatian.
“Inilah tertibnya UMNO sebagai sebuah parti yang berpengalaman,” katanya.










