Strategi Rasulullah SAW Di Madinah Terus Jadi Rujukan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Strategi Rasulullah SAW membina sebuah pentadbiran berteraskan keadilan, ihsan dan perpaduan di Madinah lebih 14 abad lalu terus menjadi inspirasi kepada Kerajaan Perpaduan dalam mengemudi Malaysia sebagai sebuah negara majmuk pada abad ke-21.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan Baginda dalam membina masyarakat Madinah kekal relevan, khususnya dalam usaha memastikan kestabilan, kesejahteraan dan keadilan dapat dirasai seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Menurut beliau, cabaran politik dan dinamika semasa sememangnya tidak mudah untuk dihadapi, namun usaha melakukan islah atau pembaharuan demi kepentingan rakyat akan diteruskan selagi amanah dan kuasa diberikan masih mampu digalas.

“Tiap pemimpin pastinya mendambakan yang terbaik buat seluruh rakyatnya, dan saya juga begitu.

“Kita akan terus berusaha selagi kudrat dan masa masih tersisa untuk melakukan perubahan menggunakan kuasa yang diamanahkan Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Anwar berkata, perjalanan Rasulullah SAW membangunkan pentadbiran baharu di Madinah menggambarkan bagaimana tatanan yang berasaskan keadilan dan ihsan mampu membentuk masyarakat yang berakal budi serta berakhlak tinggi.

Katanya, perpecahan antara kaum Aus dan Khazraj yang sekian lama mencetuskan ketegangan di Yathrib akhirnya dapat dirungkai menerusi semangat perpaduan Ansar, sekali gus meletakkan asas kukuh kepada kestabilan masyarakat Madinah.

“Di Madinah, yang miskin dibantu, yang lemah disantuni dan yang berbeza diberikan ruang.

“Amalan monopoli disingkirkan demi pemerataan ekonomi yang saksama, sementara utusan dihantar keluar dengan mesej membina tatanan lebih aman dan adil,” katanya.

Beliau berkata, prinsip menjamin keperluan asas rakyat serta mewujudkan keamanan merupakan antara perkara utama dalam Maqasid Syariah.

Menurutnya, prinsip itu turut selari dengan firman Allah SWT dalam Surah Quraysh ayat 4 yang bermaksud: “Dia yang memberi makanan bagi menghilangkan kelaparan, dan mengamankan mereka daripada rasa ketakutan.”

Anwar turut menzahirkan harapan agar Malaysia terus dilimpahi keberkatan, manakala rakyatnya dikurniakan kasih sayang serta rezeki yang berkat.

“Semoga Allah SWT terus memberkati tanah air kita, dan rakyatnya dirahmati dengan kasih sayang serta rezeki yang berkat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles