PUTRAJAYA: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan kini memperkukuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan memberi tumpuan kepada penyatuan jentera di semua peringkat serta menegaskan pendirian untuk tidak mencampuri urusan institusi diraja dan proses perundangan negeri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu ditekankan dalam pertemuan bersama kepimpinan empat peringkat UMNO Negeri Sembilan yang diadakan semalam sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi pilihan raya.
Menurut beliau, fokus utama ialah memastikan seluruh kepimpinan dan ahli parti bersatu bagi menghadapi cabaran pilihan raya yang disifatkan sebagai lebih mencabar berbanding sebelum ini.
“Kita tidak akan pernah mencampuri soal perundangan, terutama melibatkan institusi raja dan juga Dewan Keadilan Undang di Negeri Sembilan. Kita mesti berada di luar daripada lingkungan itu.
“Yang penting ialah penyatuan dalam kalangan kepimpinan dan ahli di semua peringkat untuk menghadapi pilihan raya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2025, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, berbeza dengan PRN terdahulu yang menyaksikan BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), BN Negeri Sembilan kali ini akan bertanding secara bersendirian.
“Pilihan untuk bergerak secara solo adalah keputusan yang dibuat oleh UMNO dan Barisan Nasional Negeri Sembilan,” katanya.
Mengulas mengenai pemilihan calon, beliau berkata, proses memperincikan senarai calon sedang dilaksanakan di peringkat negeri sebelum dibincangkan bersama parti-parti komponen BN.
Katanya, perkara itu akan diselaraskan oleh Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta kepimpinan parti-parti komponen BN.
“Perbincangan itu akan menentukan kerusi yang akan ditandingi dan calon-calon yang akan diketengahkan,” katanya.










