​’Tunai Dulu 11 Janji Manifesto BN 2022 Sebelum Pertikai PH’

​KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) membidas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mempertikaikan kelewatan gabungan itu mengumumkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

​Ketua Penerangannya, Danish Hairudin berkata tindakan Onn Hafiz itu hanyalah cubaan mengalih perhatian rakyat daripada hakikat bahawa beliau sendiri gagal menunaikan sebahagian besar manifesto Barisan Nasional (BN) yang dijanjikan pada tahun 2022.

​Menurutnya, Onn Hafiz sepatutnya cermin diri dan menjelaskan status janji-janji BN yang masih terperam sebelum sibuk menjaga ‘tepi kain’ pihak lain.

​”Sebelum mempertikaikan manifesto pihak lain, Onn Hafiz sepatutnya menjelaskan terlebih dahulu mengapa begitu banyak janji BN masih gagal ditunaikan selepas lebih empat tahun mentadbir Johor,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

​Danish mendakwa, sekurang-kurangnya 11 manifesto BN 2022 gagal direalisasikan di bawah pentadbiran Onn Hafiz termasuk projek ekonomi berimpak tinggi seperti Batu Pahat Barter Trade Port, Pasar Borong Digital Johor dan pinjaman tanpa faedah RM100 juta melalui Johor Niaga.

​Lebih memalukan, Danish mendakwa kebajikan golongan memerlukan turut diabaikan apabila beberapa bantuan dikurangkan daripada jumlah asal yang dijanjikan.

​”Bantuan RM500 kepada mahasiswa Johor daripada keluarga B40 akhirnya hanya menjadi RM200. Bantuan RM1,000 kepada pasangan muda yang berkahwin kali pertama pula dipotong menjadi RM400.

​”Malah, janji menaikkan bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM500 serta kenaikan elaun imam, bilal, noja dan siak langsung tidak ditunaikan,” jelasnya lagi.

​Turut dibangkitkan adalah kegagalan memperluaskan Klinik Wakaf An-Nur ke setiap daerah dan ketiadaan penubuhan Institut Wanita Johor.

Beliau juga mendakwa BN sekadar mengitar semula idea lama apabila menjanjikan Muar sebagai Hab Perabot Negara, sedangkan status itu sudah diiktiraf sejak 2018.

​Dalam pada itu, beliau menegaskan Pakatan Harapan tidak pernah takut untuk menawarkan agenda buat rakyat, malah bakal melancarkan ’10 Tawaran Utama’ dalam masa terdekat.

​Jelasnya, manifesto yang akan dibentangkan itu adalah berpaksikan keperluan sebenar Bangsa Johor berdasarkan realiti ekonomi semasa dan kemampuan kewangan negeri, bukannya sekadar janji kosong.

​”Rakyat Johor semakin matang. Mereka tidak lagi mudah terpesona dengan pelancaran manifesto yang gah atau slogan yang indah. Mereka menilai rekod, prestasi dan keberanian seorang pemimpin memegang amanah.

​”Tunai dahulu 11 manifesto BN 2022 sebelum datang menawarkan manifesto baharu kepada rakyat Johor,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles