KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memberi isyarat jelas bahawa kebersamaannya dengan Kerajaan Perpaduan mempunyai noktah yang ditetapkan sebaik sahaja Parlimen ke-15 dibubarkan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan parti itu akan menghormati komitmen yang diputuskan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun kerjasama berkenaan tidak akan diteruskan selepas pembubaran Parlimen.
“The moment (di saat) Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka (Kerajaan Perpaduan),” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, BN mengambil keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 dan komitmen itu akan dipertahankan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Katanya, pembabitan BN dalam kerajaan tidak bermakna parti itu menyerahkan identiti politik atau pendiriannya kepada mana-mana pihak.
“Dalam keadaan kompleks, kita mahu satu kompas tetap.
“BN buat keputusan bersama kerajaan selepas PRU15, komitmen kita tetap berada di dalam kerajaan sehingga tamat penggal.
“Ketika Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka. Ini janji kita,” katanya.
Kenyataan itu dibuat hanya kira-kira dua minggu selepas Ahmad Zahid menegaskan BN akan terus berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal, selaras dengan resolusi Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Dalam pada itu, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R S Thanenthiran, secara terbuka mencadangkan BN supaya meninggalkan Kerajaan MADANI lebih awal.
Beliau mendakwa pemimpin UMNO dan BN sering berdepan tekanan, manakala pihak yang didakwanya melakukan kesalahan dan jenayah pula tidak dikenakan tindakan sewajarnya.
“Ia seolah-olah Kerajaan MADANI cuba menekan BN dan pemimpinnya supaya menyerah.
“Saya bagi pihak Parti Makkal Sakti Malaysia mencadangkan supaya keluarlah dari Kerajaan MADANI,” katanya.
Perkembangan itu menambah tekanan politik terhadap hubungan antara komponen Kerajaan Perpaduan ketika tumpuan parti-parti politik semakin terarah kepada persiapan menghadapi PRU16.
Ahmad Zahid sebelum ini juga pernah mengemukakan pilihan supaya BN dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan atau Parlimen dibubarkan bagi mendapatkan mandat baharu rakyat.










