​KUALA LUMPUR: PKR mendesak negara-negara yang terikat dengan Statut Rom supaya menunaikan kewajipan mereka terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), susulan kehadiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.
​Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik berkata, tindakan puluhan perwakilan meninggalkan dewan ketika Netanyahu menyampaikan ucapannya merupakan satu bentuk bantahan jelas terhadap pemimpin rejim Zionis itu.
​Bagaimanapun, tegas beliau, simbolik bantahan sahaja tidak memadai memandangkan Netanyahu masih berdepan waran tangkap ICC berhubung dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
​”Waran itu bukan sabitan, tetapi ia menuntut tindakan serius menurut undang-undang.
“Apakah makna undang-undang antarabangsa jika ia hanya dikuatkuasakan terhadap sesetengah pihak?” ujar beliau dalam satu kenyataan tegas pada Ahad.
​Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kedudukan diplomatik mahupun pakatan politik tidak boleh dijadikan penentu kepada siapa keadilan harus ditegakkan.
​Sehubungan itu, parti tersebut turut menggesa PBB supaya meneliti semula tatacara dan mekanisme sedia ada agar prinsip akauntabiliti dapat dipertahankan secara lebih berkesan tanpa sebarang kompromi politik global.
​Beliau turut mengulangi pendirian bahawa masyarakat antarabangsa perlu bersatu hati memastikan nasib mangsa kekejaman terbela, kerana rakyat Palestin berhak mendapat perlindungan, maruah, dan keadilan yang sejati.










