Isu Najib: Jangan Cuci Tangan Selepas Keputusan Dibuat – Neow

KUALA LUMPUR: Pihak yang cuba menjarakkan diri daripada keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan Datuk Seri Najib Razak selepas isu itu mencetuskan polemik politik perlu tampil mengambil tanggungjawab, tegas Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong.

Beliau menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak wajar kerana proses Lembaga Pengampunan dibuat secara kolektif dan bukannya bergantung kepada satu pihak sahaja.

“Jangan bermain wayang. Kalau tidak setuju, ambil tanggungjawab. Kalau benar-benar tidak bersetuju, pada awal lagi letak jawatan, bukan selepas perkara itu menjadi kecoh baru seorang sahaja mahu melepaskan jawatan.

“Ini keputusan kolektif. Tidak adil untuk meletakkan keseluruhan beban kepada Yang di-Pertuan Agong sahaja,” katanya dalam wawancara bersama The Rakyat Insight.

Menurut Neow, pihak yang terlibat dalam proses berkenaan tidak seharusnya cuba mencuci tangan atau mengalihkan perhatian dengan menjadikan Najib sebagai sasaran utama polemik.

Katanya, isu tersebut perlu dilihat dari sudut yang lebih besar kerana ia membabitkan prinsip Perlembagaan, institusi negara dan tanggungjawab kolektif dalam proses membuat keputusan.

“Kalau dikatakan keputusan itu bercanggah dengan Perlembagaan, tunjukkan di mana percanggahannya. Jangan selepas keputusan dibuat, baru cuba menunjukkan seolah-olah tidak bersetuju,” katanya.

Neow turut menegaskan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib bukan bermaksud beliau dibebaskan daripada hukuman, sebaliknya baki hukuman dijalani melalui tahanan di rumah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata usaha menjadikan isu berkenaan sebagai bahan kempen politik hanya akan mengalihkan perhatian daripada persoalan sebenar mengenai proses dan tanggungjawab institusi.

“Rakyat perlu sedar, ini bukan semata-mata soal Najib. Ini soal prinsip Perlembagaan negara kita. Kita perlu menghormati institusi dan keputusan yang dibuat secara kolektif,” katanya.

Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib, membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk antaranya kepada pembayaran denda RM50 juta.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-64.

Pada masa ini, pelaksanaan tahanan rumah Najib masih tertakluk kepada proses pentadbiran dan syarat yang ditetapkan.

Jabatan Penjara sebelum ini memaklumkan pihaknya masih menunggu pemakluman rasmi bertulis sebelum mengambil tindakan lanjut, manakala Jabatan Peguam Negara menyatakan prosedur operasi standard berkaitan tahanan rumah akan dimuktamadkan selepas surat rasmi diterima.

BBerkaitan

Latest articles