KUALA LUMPUR: Pembangkang memerlukan lebih masa untuk menyusun strategi sekiranya kerajaan tetap mahu melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada musim bencana.
Pengerusi Gabungan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad berharap kerajaan mengambil kira masalah yang dihadapi pembangkang dan tidak mengambil keputusan sewenang-wenangnya seolah-olah tidak mahu pembangkang bertanding.
“Waktu sesuai PRU15 adalah masa yang tenang dalam negara di mana tidak ada banjir dan angin kencang.
“Bagi masa untuk kita susun bukan parti kerajaan sahaja tetapi kerajaan mesti ambil berat juga parti lawan.
“Jangan nak buat sesuatu supaya parti lawan tidak dapat ambil bahagian dalam pilihan raya,” kata Pengerusi Pejuang itu kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil
NGO Ikhlas di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Mahathir menegaskan, sekiranya PRU15 diadakan pada bencana banjir, ia tidak sesuai dan menyebabkan kesukaran pengundi untuk bergerak.
“(PRU15) tak sesuai. Payah hendak bergerak. Ramai orang tidak boleh undi.
“Mungkin ada yang cedera dan mati dan tak sesuai diadakan pilihan raya.
“Tapi kita bersedia kalau diadakan banjir dan berusaha menjaga masalah banjir bersama dengan masalah lain,” katanya.