Tun M: Keputusan PRN Johor Isyarat Kebangkitan Politik Melayu

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir baru-baru ini sebagai petunjuk bahawa kekuatan politik orang Melayu mampu dipulihkan sekiranya kaum itu kembali bersatu.

Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, beliau berkata perkembangan tersebut memperlihatkan penyatuan orang Melayu masih menjadi faktor penting dalam menentukan hala tuju politik negara.

Menurutnya, meskipun bentuk kerjasama politik yang sedang terjalin ketika ini belum mempunyai struktur atau ikatan yang jelas, usaha itu wajar diterima sebagai langkah positif ke arah memperkukuhkan kedudukan politik orang Melayu.

Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan bahawa penyatuan berkenaan bukan bertujuan mempertahankan perkara yang salah atau melakukan kebatilan.

Sebaliknya, beliau berkata, kekuatan politik itu perlu dimanfaatkan untuk mengangkat martabat orang Melayu, memelihara kedudukan agama Islam serta mempertahankan kedaulatan negara.

Pada masa sama, beliau menolak tanggapan bahawa penyatuan orang Melayu akan menjejaskan hak kaum lain.

Katanya, apabila orang Melayu memiliki kekuatan politik yang kukuh, mereka lebih yakin memperjuangkan kepentingan kaum sendiri tanpa mempertikai hak serta kepentingan masyarakat lain.

“Apabila orang Melayu bersatu dan mempunyai kekuatan politik, ia memberi keyakinan kepada mereka untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya tanpa mempertikai hak-hak kaum lain,” katanya.

Dr Mahathir turut menjelaskan pendekatan itu bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan dan menurutnya terbukti berjaya membawa kemakmuran kepada orang Melayu serta kaum-kaum lain.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang Melayu supaya terus memperkukuhkan perpaduan dan kekuatan politik demi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

“Hanya dengan cara ini tanah air kita akan kekal hak kita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles