Tuan Ibrahim Jawab Dakwaan Gagal Bayar Sewa Pejabat Pusat Khidmat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan kononnya beliau gagal menjelaskan bayaran sewa Pejabat Pusat Khidmatnya, sebaliknya menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah yang tidak berasas.

Tuan Ibrahim berkata pelbagai tuduhan dan serangan berhubung isu tersebut mula tersebar sejak beberapa hari lalu walaupun penjelasan mengenainya telah diberikan sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, beliau enggan memanjangkan polemik berkenaan kerana mahu memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih penting melibatkan kepentingan rakyat.

“Namun saya perlu nyatakan dengan jelas bahawa semua dakwaan dan tuduhan tersebut adalah fitnah. Tuduhan mengatakan saya tidak membayar sewa perlu dibuktikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tuan Ibrahim berkata, bayaran sewaan premis berkenaan telah dijelaskan secara berkala sejak Januari 2025 hingga April 2026 mengikut perjanjian yang dipersetujui.

Beliau memaklumkan kadar sewaan sebelum September 2025 adalah antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan, manakala kadar baharu sebanyak RM2,200 sebulan mula berkuat kuasa selepas pertukaran pemilik bangunan dan pemeteraian perjanjian baharu pada September tahun sama.

Menurutnya, bayaran sewaan bagi Mei 2026 pula ditolak daripada lebihan deposit yang masih dipegang pemilik premis selepas beliau menerima arahan pengosongan bangunan yang didakwa tidak mematuhi syarat perjanjian sewaan.

“Saya berharap pihak yang menyebarkan fitnah kononnya saya tidak membayar sewaan bangunan dapat menghentikan tuduhan tersebut.

“Walaupun ada yang telah memohon maaf, fitnah yang disebarkan terus dibaca dan berlegar dalam masyarakat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan telah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan sewajarnya bagi membersihkan nama baik beliau serta PAS daripada tuduhan berkenaan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Beliau turut memetik hadis riwayat Abu Hurairah mengenai golongan muflis di akhirat sebagai peringatan terhadap perbuatan memfitnah dan menganiaya orang lain.

BBerkaitan

Latest articles