Transformasi Digital Pondok Diperkasa, Institusi Tradisional Mampu Adaptasi Teknologi – PM

PUTRAJAYA: Usaha memperkasa keupayaan digital dalam kalangan pelajar institusi pondok terus diberi perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan bersama enam wakil pondok terpilih di pejabatnya.

Pertemuan tersebut diadakan sempena pelaksanaan program Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (IPI), satu inisiatif rintis yang digerakkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut Anwar, program berkenaan melibatkan beberapa institusi pondok sebagai perintis termasuk Maahad Tarbiah Islamiah di Derang, Pokok Sena; Pusat Pengajian Pondok Kandis di Bachok; Institut Ahmad Ibni Idris (SAIFI) di Rembau; Pusat Pendidikan Ribath Al-Musthofa di Kuantan; Pondok Darul Furqan di Ipoh serta Maahad Ihya Ulumiddin di Mengkuang Titi, Bukit Mertajam.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa institusi pondok mampu meneroka bidang baharu selari dengan perkembangan semasa, tanpa mengabaikan kekuatan tradisi pengajian turath al-Islami yang menjadi teras pendidikan tersebut.

Dalam masa sama, Perdana Menteri menegaskan penguasaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan kini menjadi keperluan penting dalam mendepani cabaran dunia moden.

Beliau berharap inisiatif itu dapat menjadi asas kukuh dalam membentuk masa depan pendidikan Islam yang lebih dinamik dan berdaya saing di peringkat serantau.

BBerkaitan

Latest articles