​SHAH ALAM: “Assalamualaikum Malaysia…” Itulah rintihan hiba penuh sebak seorang ibu yang menanggung lara selepas anak lelakinya berusia 11 tahun didakwa menjadi mangsa liwat di sebuah sekolah tahfiz di daerah ini.
Kes terbaharu ini menggemparkan warga maya selepas membongkar sisi gelap salah laku di institusi pengajian agama yang sepatutnya menjadi tempat selamat buat pelajar mendalami ilmu.
Perkongsian video berkenaan dengan cepat mendapat tumpuan ramai di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi tajam dan kemarahan mendalam daripada warganet.
Rata-rata netizen mengecam budaya ragging dan buli senior terhadap junior yang disifatkan sebagai barah yang sukar dihentikan.
Pengguna media sosial, Shah Ahamad, melahirkan rasa kesal dan menyelar pihak yang seolah-olah mengambil mudah keselamatan anak orang lain.
​Sementara itu, Syahril Mazlan mencadangkan agar tindakan pantas diambil dengan membawa mangsa keluar untuk menjalani pemeriksaan fizikal, perubatan, serta psikologi di hospital.
“Dapat bukti, terus report polis,” antara desakan tegas yang ditinggalkan warganet.
Bagaimanapun, suara-suara lain seperti Adnan Ahmad, Kov Merkov, dan Boss Sireh Pinang mendesak agar nama sekolah tahfiz terbabit didedahkan secara telus supaya nama baik institusi tahfiz lain tidak terus terpalit susulan perbuatan jijik segelintir pihak.
Dalam pada itu, ibu mangsa menceritakan detik hitam apabila mengetahui anak kesayangannya yang dihantar menuntut ilmu di pusat tahfiz berkenaan telah diliwat oleh lebih daripada lima orang pelajar senior.
Menurut wanita itu, mereka kini berdepan jalan buntu kerana kekurangan bukti dan saksi yang cukup untuk menyeret pelaku ke muka pengadilan.
​Dengan air mata membasahi pipi, ibu berkenaan merayu kepada ibu bapa lain yang pernah menghantar anak ke tahfiz sama dari tahun 2024 hingga 2026 agar segera bertanya khabar dan keadaan anak masing-masing.
“Jika anak pernah diliwat atau ada gangguan seksual oleh pelajar di sekolah tersebut, saya mohon sila tampil ke hadapan dan hubungi kami,” rayunya penuh hiba.
Isu panas terdedah selepas selebriti dan aktivis media sosial, Caprice, membongkar perkara terbabit menerusi satu hantaran di platform rasminya.
Beliau melontarkan seruan amaran agar sesiapa sahaja yang pernah memasukkan anak ke sekolah tahfiz di Banting supaya mengambil langkah segera dengan bertanya kepada anak-anak mereka.
“Sape2 pernah hantar anak dekat sekolah tahfiz in Banting, pls tanya anak korang hari ni / esok / lusa,” jelasnya.










