PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri yang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dibebaskan hari ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan lelaki berusia 60-an itu dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh remannya berakhir.
Bekas menteri berkenaan sebelum ini hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 2 September lalu untuk dirakam percakapan sebelum ditahan bagi membantu siasatan.
Mahkamah pada awalnya membenarkan tempoh reman selama lima hari sebelum ia dilanjutkan dua hari lagi pada 6 September.
Siasatan dipercayai berkaitan isu pajakan sebuah hotel milik atau mempunyai kaitan dengan TH di Arab Saudi, yang turut disentuh dalam laporan RCI berhubung pengurusan badan berkanun berkenaan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, membabitkan kesalahan meminta, menerima atau bersetuju menerima suapan sebagai dorongan atau upah untuk diri sendiri atau pihak lain.
Jika didapati bersalah, individu terbabit boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.










