Anwar Kenang Tun Razak Sebagai Arkitek Negara, Ingatkan Ancaman 3C Kekal Relevan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Almarhum Tun Abdul Razak Hussein sebagai seorang tokoh besar dan negarawan ulung yang kekal dikenang sebagai Arkitek Pembangunan Negara Bangsa.

Anwar berkata, usaha memperingati pemimpin terdahulu bukan sekadar untuk bernostalgia dengan sejarah silam, sebaliknya bagi menyemarakkan semula obor perjuangan mereka.

Beliau turut memetik ungkapan pemikir Perancis, Roger Garaudy, bahawa tindakan itu adalah “not to bury the ashes of the dead, but to rekindle its flame”.

Kongsi Perdana Menteri, beliau merupakan antara anak muda yang berkesempatan mengenali Almarhum dari dekat serta menghargai kesediaan Tun Razak melayani wacana dan mendengar idealisme golongan muda pada ketika itu, meskipun adakalanya tuntutan perubahan dizahirkan secara keras.

“Almarhum adalah negarawan Melayu yang besar, namun perjuangannya tidak pernah terhenti pada batas kaum.

“Keprihatinannya terhadap nasib rakyat diterjemahkan menerusi pelbagai pembaharuan institusi serta gagasan Dasar Ekonomi Baru yang antara matlamat utamanya adalah menstruktur semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut mengimbas kembali pesanan penting Almarhum mengenai tiga ancaman besar negara atau dikenali sebagai 3C – Communism, Communalism and Corruption (Komunisme, Perkauman Sempit, dan Rasuah).

Menurut beliau, amaran yang diberikan seawal dekad 1970-an mengenai bahaya rasuah yang mula menghinggapi golongan berkuasa membuktikan ketajaman pandangan jauh Almarhum, sekali gus menegaskan bahawa mesej tersebut kekal relevan merentas zaman untuk dihayati oleh generasi masa kini.

BBerkaitan

Latest articles