Ismail Terus Jalankan Tugas MB

SEREMBAN: Walaupun dilaporkan mengemukakan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan Isnin lalu, Datuk Ismail Lasim pada hari ini dilihat masih menjalankan urusan pentadbiran kerajaan negeri seperti biasa.

Beliau menghadiri satu perjumpaan bersama pegawai kanan kerajaan negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUKNS), sekali gus memperlihatkan tugasnya sebagai Menteri Besar masih diteruskan ketika kemelut politik negeri itu belum menemui penyelesaian.

Menerusi hantaran di Facebook, Ismail memaklumkan pertemuan itu diadakan bagi menyambut Setiausaha Bahagian (SUB) Pengurusan Sumber Manusia yang baharu, Akhmal Abu Basar, yang mengambil alih tugas daripada Zairil Azwan Zulmuji.

Zairil Azwan pula dilaporkan bertukar ke Kementerian Pendidikan.

Pada pertemuan itu, Ismail menyuarakan harapan agar Akhmal dapat meneruskan usaha memperkukuh pengurusan sumber manusia serta meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan awam Negeri Sembilan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Zairil Azwan atas segala sumbangan dan khidmat yang diberikan sepanjang berkhidmat di negeri itu.

Perkembangan itu berlaku ketika status peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar masih menjadi perhatian berikutan Istana Negeri Sembilan semalam menjelaskan bahawa tindakan berkenaan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan turut menegaskan perkara itu tertakluk kepada peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

Semalam, Tuanku Muhriz turut berkenan menerima menghadap Ismail di Istana Negeri Sembilan bagi membincangkan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.

Sesi menghadap berkenaan berlangsung kira-kira satu jam 30 minit, bermula jam 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang.

Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu.

BBerkaitan

Latest articles