Tolak Shafie, DAP Tekad Calonkan Anwar Sebagai PM

Sebelum ini DAP dan AMANAH sepakat mencalonkan Presiden WARISAN, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Nampaknya perkara itu berkemungkinan besar tidak akan berlaku apabila DAP pada semalam telah menetapkan untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika gabungan itu menang dan berjaya membentuk kerajaan pada PRU15.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pencalonan Presiden PKR itu dibuat secara bulat suara dari rakan gabungan PH iaitu PKR AMANAH menerusi mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Ujarnya pendirian mencalonkan Shafie sebelum ini bukan keputusan keseluruhan parti.

“Saya dan Mohamad (Mat Sabu) memang ada pilih Shafie sebagai calon Perdana Menteri kesembilan selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerana saya lihat Shafie ada kewibawaan itu dan tidak semestinya apabila dia orang Sabah, maka dia tidak layak.

“Prinsip saya dan prinsip DAP sekalipun, sesiapa yang ada wibawa, tidak kira mereka pemimpin dari Sabah atau Sarawak, boleh dicalonkan sebagai Perdana Menteri. Sebab itu, saya pilih Shafie.

“Tetapi itu dulu, sekarang DAP bersama rakan gabungan dari Amanah tetap mencalonkan Anwar. Sekiranya ada perubahan calon, ia mestilah melalui Majlis Presiden PH,” katanya sebagai panel jemputan diskusi “Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita” yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Majlis Profesor Negara (MPN), semalam.

Diskusi itu dipengerusikan Felo MPN, Dr. Muhammad Asri Mohd Ali dan disertai Setiausaha MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose.

Mengenai laungan “No DAP, No Anwar” oleh pemimpin dan penyokong sebuah parti, Guan Eng mengakui parti itu terpaksa melalui retorik politik pihak tertentu yang sengaja membangkitkan api perkauman.

Guan Eng, yang juga bekas Menteri Kewangan ketika pentadbiran PH mendakwa gabungan itu tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuktikan kebaikan kerajaannya kepada rakyat.

Kata beliau, PH hanya mampu bertahan 22 bulan sahaja mentadbir Putrajaya, tetapi sekiranya ada masa yang cukup, beliau yakin rakyat akan dapat melihat kejayaan PH yang mentadbir dengan cekap dan telus.

BBerkaitan

Latest articles