Tahanan Rumah Najib: Jabatan Penjara Di Fasa Akhir Gubal Peraturan

BESUT: Jabatan Penjara Malaysia kini berada pada fasa akhir penggubalan peraturan dan syarat pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggubalan peraturan itu sedang diusahakan susulan penerimaan surat daripada Urus Setia Lembaga Pengampunan yang memperincikan keputusan serta syarat berkaitan perkara berkenaan.

Menurutnya, Jabatan Penjara bertanggungjawab menggubal peraturan berkenaan bagi memastikan pelaksanaan keputusan itu mempunyai garis panduan yang jelas.

Beliau berkata, peraturan itu perlu diwujudkan memandangkan negara belum pernah mempunyai ketetapan sedemikian sebelum ini.

“Jabatan Penjara sekarang di fasa akhir, sedang menggubalnya. Daripada tak ada, negara kita tak pernah ada, tiba-tiba jadi ada.

“Jadi, ia mestilah dipandu oleh satu peraturan dan syarat yang digubal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tahun 2026 di Dewan Komuniti FELDA Tenang, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara berperanan sebagai pelaksana kepada keputusan Lembaga Pengampunan, termasuk menyediakan peraturan yang diperlukan bagi tujuan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan tahanan rumah itu masih belum berlaku kerana bayaran sebanyak RM50 juta yang dinyatakan dalam kenyataannya belum dibuat.

“Apabila bayaran RM50 juta dibuat, barulah ia akan terlaksana. Sekarang sudahkah dibayar? Belum.

“Jadi, belum dibayar bermaksud individu berkenaan masih berada di Penjara Kajang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tumpuan ketika ini adalah untuk memuktamadkan peraturan dan syarat pelaksanaan seperti yang dikehendaki dalam surat daripada Urus Setia Lembaga Pengampunan.

BBerkaitan

Latest articles