MELAKA: Barisan Nasional (BN) tidak melihat kemelut politik di Negeri Sembilan sebagai ancaman kepada peluang gabungan itu mempertahankan penguasaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya menegaskan jentera parti perlu bekerja keras memastikan strategi yang dirancang benar-benar dilaksanakan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejayaan BN dalam pilihan raya bukan sekadar bergantung kepada strategi yang disusun pucuk pimpinan, tetapi turut ditentukan oleh keupayaan jentera parti menterjemahkan perancangan itu kepada tindakan di lapangan.
Menurutnya, strategi yang kelihatan sempurna sekalipun tidak akan membawa hasil sekiranya gagal dilaksanakan dengan berkesan, terutama dalam memastikan penyokong BN keluar mengundi pada hari pengundian.
Beliau menegaskan, jumlah pengundi yang cenderung menyokong BN tidak menjamin kemenangan sekiranya mereka tidak hadir ke pusat mengundi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Strategi yang baik tetapi tidak dilaksanakan, itu juga akan menggagalkan perancangan kita.
“Kita buat strategi cantik-cantik, pada zahirnya sangat baik, dan ramai orang yang akan mengundi ataupun dikategorikan sebagai pengundi putih kepada BN, tetapi kalau kita tidak buat (mereka) keluar (mengundi) pun tak bermakna, dia tidak masuk ke dalam peti undi,” katanya menurut laporan Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Melaka berlangsung pada 14 November ini, dengan penamaan calon pada 31 Oktober, manakala pengundian awal dijadualkan pada 10 November.
Pada PRN Melaka 2021, BN mencatat kemenangan besar apabila memperoleh 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk kerajaan negeri.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.










