Yusuf Islam Ziarah Tun M

KUALA LUMPUR: Bekas penyanyi dan penulis lagu Britain, Yusuf Islam, yang lebih dikenali sebagai Cat Stevens sebelum memeluk Islam, menziarahi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini bagi menyampaikan ucapan takziah susulan pemergian isteri tokoh itu, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Yusuf Islam berkongsi kunjungan berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook yang turut memaparkan gambarnya bersama Dr Mahathir.

Beliau turut memaklumkan membaca surah al-Fatihah buat Allahyarhamah Siti Hasmah yang meninggal dunia pada 28 September lalu.

Menerusi perkongsian itu, Yusuf Islam menyentuh tempoh perkahwinan pasangan berkenaan yang mencecah 70 tahun, selain menyebut usia Dr Mahathir yang kini 101 tahun.

“Hari ini saya melawat Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia, yang isterinya, Dr Hasmah, baru sahaja meninggal dunia, dan membaca al-Fatihah.

“Mereka sudah berkahwin selama 70 tahun. Beliau kini berusia 101 tahun, dengan izin Allah,” katanya.

Allahyarhamah Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada 28 September lalu.

Jenazah beliau dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya, pada hari sama menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

Pemergian Siti Hasmah menyusul selepas lebih tujuh dekad beliau mendampingi Dr Mahathir, termasuk sepanjang perjalanan suaminya menerajui negara sebagai Perdana Menteri selama dua penggal.

Selain dikenali sebagai isteri kepada negarawan itu, Siti Hasmah turut dikenang atas sumbangannya dalam bidang perubatan dan kerja-kerja kemasyarakatan, khususnya berkaitan kesihatan wanita, keluarga serta kesejahteraan masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles