REMBAU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berkemungkinan diadakan lebih awal daripada jangkaan, malah mengesahkan hasratnya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada pilihan raya itu.
Menurut Timbalan Presiden UMNO itu, beliau melihat terdapat kemungkinan Parlimen dibubarkan seawal penghujung tahun ini sekiranya Perdana Menteri berpendapat keadaan semasa mengizinkan untuk berbuat demikian.
“Besar kemungkinan PRU diadakan pada hujung tahun. Jika Perdana Menteri merasakan masanya sesuai, Parlimen boleh dibubarkan lebih awal.
“Pada pandangan saya, paling lewat pun hayat Parlimen sekarang hanya sehingga pertengahan tahun depan,” katanya ketika berucap pada program bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Sawah di Rantau, hari ini.
Dalam ucapannya, Mohamad yang kini bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan turut mengumumkan lebih awal bahawa beliau akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada PRU16.
“Saya mahu maklumkan dari sekarang bahawa saya akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau,” katanya.
Menteri Luar itu berkata, negara masih berdepan pelbagai cabaran yang memerlukan kepimpinan stabil bagi memastikan Malaysia terus kukuh, makmur dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Beliau pada masa sama mengingatkan jentera BN supaya menguruskan kempen PRN Negeri Sembilan dengan sebaik mungkin kerana ia menjadi medan persediaan penting sebelum menghadapi PRU16.
“Pastikan kita uruskan PRN ini dengan baik. Anggaplah ia sebagai medan latihan untuk memperkukuh sokongan rakyat kepada BN menjelang pilihan raya umum nanti,” katanya.










