‘Alhamdulillah, Keadaan Najib Baik Selepas Prosedur Koronari’

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak perlu menjalani prosedur angioplasti belon atau pemasangan stent selepas penilaian menyeluruh mendapati penyumbatan salur darah koronari yang dialaminya boleh dikawal menerusi pengambilan ubat-ubatan dan rawatan susulan.

Firma guaman Tetuan Shafee & Co. dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat oleh pasukan pakar perubatan selepas menjalankan ujian angiogram koronari berikutan siri penilaian perubatan yang dilakukan sejak beberapa minggu lalu.

Menurut kenyataan itu, pasukan perubatan sebelum ini menasihatkan terdapat kebarangkalian sehingga 95 peratus bahawa beliau memerlukan intervensi lanjut.

“Keputusan untuk meneruskan prosedur hari ini dibuat sepenuhnya berasaskan keperluan perubatan dan penemuan klinikal yang ada pada ketika itu.

“Mujurlah, angiogram koronari tersebut menunjukkan bahawa penyumbatan itu boleh dikawal tanpa memerlukan angioplasti belon atau pemasangan stent,” menurut kenyataan tersebut.

Tetuan Shafee & Co. turut memaklumkan bahawa Najib kini berada dalam keadaan baik dan sedang menjalani proses pemulihan di bawah pengawasan rapi doktor yang merawat.

Dalam pada itu, pihak keluarga bekas perdana menteri berkenaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para pakar kardiologi, pakar kardiotorasik, jururawat serta seluruh pasukan perubatan di Pusat Kardiotorasik dan Kardiologi, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang atas kepakaran dan penjagaan berdedikasi sepanjang proses rawatan berjalan.

Pihak keluarga turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas doa, sokongan dan ucapan baik yang berterusan buat Najib.

BBerkaitan

Latest articles