Sanusi Sedia Saman Pihak Manipulasi Kenyataan Ceramah Di Negeri Sembilan

​ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk mengemukakan saman terhadap mana-mana pihak yang sengaja memutar belit serta memanipulasi kenyataannya ketika berceramah di Negeri Sembilan kelmarin.

​Beliau berkata tindakan tegas itu diambil bagi membetulkan keadaan serta menghentikan cubaan pihak tertentu yang didakwa memesongkan fakta demi meraih keuntungan politik.

​”Saya sebut benda yang fakta sahaja. Siapa-siapa yang cuba memanipulasi isu ini untuk kepentingan politik, saya akan saman.

​”Saya akan buat laporan polis balas. Saya akan ambil tindakan undang-undang untuk membetulkan keadaan. Jangan cuba untuk memesongkan fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kebajikan Haiwan, Himpunan Lembu Sado Malaya dan Sambutan Hari Rabies Sedunia peringkat negeri Kedah di Suka Menanti, di sini hari ini.

​Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) menjelaskan bahawa ucapan beliau pada majlis itu hanya menyentuh fakta sejarah yang boleh dirujuk melalui pakar serta buku-buku sejarah, selain tidak ditujukan khusus kepada mana-mana individu.

​Sehubungan itu, beliau berkata pihak yang bertanggungjawab menyebarkan potong rakaman video atau laporan tidak tepat perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka yang didakwa sengaja mencetuskan ketegangan.

​”Mereka hantar video kata ada orang buat laporan polis, saya akan buat laporan balas kalau dia memesongkan apa yang saya cakap… Kita tak perlu takut selagi kita betul,” katanya.

​Terdahulu, tular isu berkaitan ceramah beliau di Jempol, Negeri Sembilan yang dilaporkan menyentuh berkenaan sejarah “Tanah Melayu” sebagai tempat tinggal kaum Melayu.

BBerkaitan

Latest articles