Pemuda BN Seru Sanusi Hentikan Politik Perpecahan, Fokus Kesejahteraan Rakyat

KUALA LUMPUR, Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong, menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, baru-baru ini sebagai tidak wajar kerana dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau berkata, setiap warganegara tanpa mengira bangsa, suku kaum atau etnik merupakan Anak Malaysia yang mempunyai hak untuk menyumbang kepada pembangunan negara tanpa kesetiaan mereka dipersoalkan melalui polemik yang memecahbelahkan.

Menurutnya, Malaysia dibina melalui perjuangan bersama masyarakat berbilang kaum. Selepas hampir tujuh dekad mencapai kemerdekaan, pemimpin negara seharusnya menumpukan perhatian kepada agenda pembangunan yang holistik dan inklusif, bukannya memainkan sentimen perkauman.

“Kemerdekaan negara dicapai hasil kerjasama erat semua kaum. Semangat perpaduan ini menjadi teras perjuangan Parti Perikatan, yang kini dikenali sebagai Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Neow, yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, berkata BN akan terus mempertahankan prinsip kesederhanaan, nasionalisme dan keterangkuman bersama parti komponennya, iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS.

Beliau turut menegaskan kepentingan memelihara keharmonian rakyat secara adil dan saksama tanpa prejudis, termasuk memastikan hak serta martabat masyarakat Orang Asal terus diperjuangkan.

Mengulas kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Neow berkata tumpuan utama BN adalah memajukan negeri itu dan meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi manifesto bertemakan “Hebatkan Semula Negeri Sembilan: Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela, Kemakmuran Dicipta.”

Sehubungan itu, beliau menyeru Sanusi supaya menghentikan pendekatan politik yang boleh merugikan perpaduan negara.

“MCA tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pemimpin yang mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab sehingga menggugat emosi rakyat serta merosakkan kestabilan dan perpaduan negara,” katanya.

Neow turut mengingatkan semua pemimpin politik agar tidak menggunakan taktik menakut-nakutkan atau memburukkan lagi perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Jika tidak boleh menjadi garam, janganlah menjadi langau. Jika tidak mampu menyatukan rakyat, janganlah menambah retak dengan taktik menakut-nakutkan,” katanya.
Beliau berkata semua pihak perlu merapatkan saf dengan memberikan keutamaan kepada pembangunan ekonomi, bantuan kepada rakyat dan pendekatan politik progresif yang mampu menyatukan masyarakat.

Pada masa sama, katanya, MCA kekal komited untuk meyakinkan pengundi Cina bahawa BN merupakan platform politik yang rasional dan inklusif serta berupaya membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat Negeri Sembilan dan Malaysia secara keseluruhannya.

BBerkaitan

Latest articles