TNB Beri Kerjasama Siasatan Insiden Tiga Remaja Cedera

KUALA LUMPUR: Risiko membawa objek tinggi berhampiran talian elektrik voltan tinggi kembali menjadi perhatian apabila tiga remaja cedera akibat renjatan elektrik dalam satu perarakan di Mergong, Alor Setar, Kedah, malam tadi.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook TNB Careline, syarikat utiliti itu memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tiang bendera yang dibawa ketika perarakan menghampiri talian penghantaran elektrik voltan tinggi, sekali gus mencetuskan percikan arka elektrik.

Sehubungan itu, TNB mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan memastikan objek tinggi, termasuk tiang bendera, berada pada jarak selamat daripada talian elektrik bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

TNB turut menzahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa yang terlibat serta mendoakan agar mereka yang sedang menerima rawatan diberikan kesembuhan segera.

Terdahulu, media melaporkan tiga remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun cedera selepas bendera yang dibawa ketika perarakan tokong sayur di Mergong dipercayai terkena talian elektrik bervoltan tinggi.

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu dipercayai berlaku ketika hujan renyai dan angin kencang menyebabkan bendera berkenaan menghampiri talian elektrik.

Susulan insiden itu, dua mangsa berusia 17 tahun dan seorang lagi berusia 16 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk mendapatkan rawatan.

BBerkaitan

Latest articles