Prestasi PISA Merosot – KPM Tolak Dakwaan Manipulasi Gred SPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menolak dakwaan bahawa sistem penetapan gred peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dimanipulasi bagi menutup kemerosotan penguasaan pelajar, meskipun prestasi Malaysia dalam penilaian antarabangsa terus menjadi persoalan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menegaskan penetapan gred berasaskan piawaian merupakan kaedah penilaian profesional yang digunakan secara meluas oleh badan peperiksaan di negara lain, termasuk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia dan Singapura.

Beliau berkata, kaedah berkenaan bertujuan memastikan keputusan peperiksaan kekal adil, boleh dipercayai dan setara antara kumpulan pelajar bagi tahun berbeza, bukannya menyembunyikan kelemahan pencapaian akademik.

“Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan yang mendakwa penentuan gred SPM menyebabkan kemerosotan penguasaan pelajar disembunyikan adalah tidak tepat,” katanya ketika menjawab isu berkenaan dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat.

Wong menjawab persoalan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang membangkitkan kemungkinan pelarasan sempadan gred SPM secara sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 menyebabkan kadar kelulusan kelihatan stabil, sedangkan penguasaan sebenar pelajar merosot.

Wee turut menggesa KPM beralih daripada penggredan berasaskan norma kepada sistem berasaskan kriteria seperti Cambridge IGCSE dan O-Level, yang menggunakan ambang markah tertentu bagi setiap gred tanpa bergantung pada prestasi keseluruhan calon.

Mengulas kemerosotan pencapaian Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025, Wong berkata, kelemahan itu berpunca daripada masalah pembelajaran yang bersifat sistemik dan bukannya manipulasi dalam sistem peperiksaan.

Menurutnya, dapatan PISA menunjukkan pelajar Malaysia masih berdepan kesukaran mengaplikasikan konsep matematik serta menggunakan penaakulan untuk menyelesaikan masalah dalam situasi yang tidak pernah mereka hadapi.

Selain itu, beliau mengenal pasti ketidakpadanan antara opsyen guru dengan mata pelajaran yang diajar serta pengurangan sokongan akademik ibu bapa di rumah sebagai antara faktor yang perlu diberi perhatian.

Wong berkata, data menunjukkan peratusan pelajar yang berbincang mengenai hal sekolah bersama ibu bapa sekurang-kurangnya sekali seminggu menurun daripada 46 peratus pada 2022 kepada hanya 34 peratus pada 2025.

Beliau berkata, KPM akan menerbitkan analisis terperinci keputusan PISA mengikut negeri dan kategori sekolah sekiranya tahap kebolehpercayaan data membolehkan penelitian sedemikian dilakukan.

Dalam pada itu, Wong mengakui Malaysia gagal mencapai sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk menempatkan negara dalam kelompok sepertiga teratas penilaian antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, pencapaian dalam penanda aras global akan terus menjadi satu daripada 12 sasaran wajib di bawah pelan pendidikan baharu bagi tempoh 2026-2035.

Sebelum itu, Wee membangkitkan kemerosotan prestasi Malaysia dalam PISA 2025 dengan purata skor keseluruhan sebanyak 409 mata, manakala skor Matematik merosot 11 mata berbanding 2022 kepada 397 mata, iaitu paras terendah pernah dicatatkan menurut angka yang dikemukakannya.

Beliau berpandangan, kemerosotan itu perlu dinilai dari sudut keberkesanan dasar dan institusi pendidikan, bukannya semata-mata dikaitkan dengan sikap pelajar.

Ini kerana, katanya, pelajar Malaysia masih menunjukkan pencapaian melebihi purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam aspek sifat ingin tahu, ketekunan dan penghargaan terhadap sekolah.

BBerkaitan

Latest articles