“Titah Adendum Tidak Dihantar Kepada Saya, Tetapi Kepada Peguam Negara”

KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya kerajaan menyembunyikan titah adendum ditepis Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut Anwar berkata titah adendum yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah dihantar kepada Peguam Negara Ketika itu.

“Surat itu dihantar kepada peguam negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli Lembaga Pengampunan. Peguam negara kemudian, bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara kerana Agong yang pengerusikan (Lembaga Pengampunan).

“Itu keadaan dia. Bukan kita sorok,” katanya ketika berucap di program Muhibbah Madani.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa juga menolak dakwaan beliau terlibat dalam menyembunyikan titah adendum tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar berkata tiada apa yang menghalang Najib membuat rayuan baharu kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang, yang mempengerusikan lembaga tersebut.

“Terus sahaja lah,” katanya.

Isnin lalu Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman supaya kerajaan melaksanakan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkannya menjalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengemukakan kepada mahkamah surat daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah adendum itu.

Semalam, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang merupakan urusetia kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, mengesahkan tidak menerima sebarang titah adendum daripada Istana Negara untuk Najib menjalani tahanan di rumah.

BBerkaitan

Latest articles