KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memasuki fasa penentuan apabila pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 29 saksi berhubung dakwaan suapan RM25.3 juta berkaitan projek Jana Wibawa.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin selepas saksi terakhir pendakwaan, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mazery Mohd Zaini selesai memberi keterangan hari ini.
“Pihak pendakwaan menutup kes selepas tiada lagi saksi yang perlu dipanggil untuk memberi keterangan dan enam saksi pendakwaan ditawarkan kepada pihak pembelaan,” katanya.
Antara enam saksi berkenaan ialah bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad dan ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad.
Susulan penutupan kes pendakwaan, mahkamah menetapkan 25 November sebagai tarikh akhir untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis.
Hujahan lisan pendakwaan pula dijadualkan berlangsung pada 26 November, manakala pihak pembelaan akan mengemukakan hujahan lisan pada 1 hingga 3 Disember.
Muhyiddin diwakili barisan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Amer Hamzah Arshad, Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani.
Perbicaraan kes itu bermula pada 9 Mac lalu, dengan pendakwaan memanggil beberapa saksi penting termasuk bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Pengarah KCJ Engineering Sdn Bhd, Azman Yusoff; Pengasas Nepturis Sdn Bhd, Lian Tan Chuan dan Pengarah Urusan Mamfor Sdn Bhd, Shahradzi Shamsuddin.
Muhyiddin, 79, berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri untuk mendapatkan suapan berjumlah RM25.3 juta bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Suapan itu didakwa diminta daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd, serta Azman Yusoff, berkaitan projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan RM200 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak akan meneruskan kes berhubung Bukhary Equity Sdn Bhd terhadap Ahli Parlimen Pagoh berkenaan.










