KUALA LUMPUR,— YTL Power International Berhad dan Ganda Power menandatangani perjanjian tempahan dengan Siemens Energy bagi empat unit tambahan turbin gas SGT-9000HL untuk menyokong projek penjanaan elektrik di Malaysia dan rantau ini.
Perjanjian yang ditandatangani pada 14 September itu menjadikan jumlah keseluruhan turbin yang ditempah kedua-dua syarikat sebanyak tujuh unit, termasuk tiga unit yang ditempah sebelum ini. Kesemua unit berkenaan dirancang bagi menyokong projek dengan kapasiti gabungan melebihi 5,250 megawatt (MW).
Pengarah Urusan YTL Power, Dato’ Seri Yeoh Seok Hong, berkata tempahan tambahan itu memperkukuh keupayaan syarikat bersama Ganda Power untuk membangunkan penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai, cekap dan berdaya saing di peringkat global.
Beliau berkata Siemens Energy telah menjadi rakan kerjasama YTL selama lebih tiga dekad, berasaskan komitmen bersama terhadap kecemerlangan kejuruteraan dan pelaburan jangka panjang.
“Tenaga ialah asas ekonomi kecerdasan buatan (AI). Dengan menggabungkan pengalaman penjanaan tenaga kami dengan keupayaan yang semakin berkembang dalam pusat data dan AI, kami sedang membina infrastruktur yang akan menyokong pertumbuhan pelanggan serta industri masa depan,” katanya.
Menurut YTL Power, perjanjian itu menyokong usaha memenuhi peningkatan keperluan tenaga berikutan pengembangan industri, elektrifikasi serta pembangunan pusat data dan AI di Malaysia dan rantau ini.
Tempahan berkenaan turut melengkapi pelaburan infrastruktur digital syarikat, merangkumi pusat data, pengkomputeran dipercepat berasaskan teknologi NVIDIA melalui YTL AI Cloud serta pembangunan model dan aplikasi AI oleh YTL AI Labs, termasuk model bahasa besar Malaysia, ILMU.
Sementara itu, Ahli Lembaga Eksekutif Siemens Energy AG merangkap Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Gas, Karim Amin, berkata infrastruktur bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan berdaya tahan penting bagi menyokong pertumbuhan pusat data serta memperkukuh keselamatan tenaga negara.
Beliau berkata perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama Siemens Energy, YTL Power dan Ganda Power terhadap perkembangan ekonomi digital serta kapasiti penjanaan elektrik masa depan Malaysia.
Menurut Siemens Energy, keluarga turbin gas SGT-9000HL direka untuk menawarkan kecekapan tinggi, fleksibiliti operasi dan kebolehpercayaan bagi menyokong bekalan elektrik yang stabil ketika lebih banyak tenaga boleh baharu disepadukan ke dalam sistem kuasa.
Pada majlis menandatangani perjanjian itu, Ganda Power diwakili pengarahnya, Yang Dimuliakan Engku Maharaja Lela Setia Paduka Dato’ Syed Budriz Putra Jamalullail, manakala YTL Power diwakili Yeoh dan Siemens Energy oleh Amin.










