KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap baki pertuduhan terhadapnya turut digugurkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskannya daripada empat pertuduhan berkaitan Bukhary Equity Sdn Bhd.
Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau sejak awal konsisten menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan dan berharap perkembangan sama turut berlaku terhadap pertuduhan lain yang masih dihadapinya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berasa lega. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Saya berharap pertuduhan lain juga akan digugurkan,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Nurdin memerintahkan Muhyiddin dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon perintah berkenaan.
Tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu membabitkan dakwaan penerimaan RM200 juta daripada Bukhary Equity, manakala pertuduhan salah guna kuasa berkait dakwaan Muhyiddin meminta jumlah sama daripada syarikat berkenaan.
Keputusan itu bagaimanapun tidak menamatkan keseluruhan prosiding jenayah terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.
Pendakwaan kini hampir selesai mengemukakan kesnya bagi tiga lagi pertuduhan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Dalam kes berkenaan, Muhyiddin didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk meminta suapan berjumlah RM25.3 juta daripada Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, KCJ Engineering Sdn Bhd serta pengarah urusannya, Azman Yusoff.










