KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor, memberi amaran tegas kepada Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan supaya menjaga tata tertib sepanjang persidangan Dewan Rakyat.
Ramli menegaskan beliau tidak akan teragak-agak mengarahkan Mohd Sany keluar dari dewan sekiranya mengulangi tindakan yang disifatkan mengganggu kelancaran perjalanan mesyuarat.
“Yang Berhormat Hulu Langat, apa masalah? Yang Berhormat, majlis (Dewan Rakyat) ada adab. Sekali lagi Yang Berhormat buat, langgar. Saya akan halau keluar dewan, saya serius,” katanya ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat, pada Rabu.
Teguran itu dibuat selepas Mohd Sany mencelah ketika Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, sedang mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.
Sebaik sahaja Onn selesai mengemukakan soalannya, Mohd Sany secara berseloroh memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Batu Pahat itu merupakan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Onn bertanding mewakili PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang pada PRN Johor yang dijadual berlangsung pada 11 Julai ini.










