Tiga Murid Lelaki Dakwa Jadi Mangsa Amang Seksual Guru

KUALA LUMPUR: Seorang guru berdepan dengan lima pertuduhan amang seksual terhadap tiga murid lelaki di perpustakaan sebuah sekolah agama di Tangkak, Johor dalam kejadian tahun 2019 dan 2020.

Bagaimanapun lelaki berkenaan, Mohd Fauzi Musa, 35, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Muar, Abu Bakar Manat.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Fauzi didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang murid lelaki berusia 10 tahun ketika itu dalam perpustakaan sekolah pada 4 petang 2 Jan 2020.

Untuk pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan perkara sama terhadap seorang lagi murid lelaki 11 tahun pada Oktober 2019 dan Januari 2020.

Pertuduhan keempat dan kelima pula, dia sekali lagi melakukan perkara sama terhadap murid lelaki lain yang berusia 11 tahun pada 3 dan 4 petang antara November 2019 dan 2 Jan 2020 di tempat sama.

Mohd Fauzi didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama, dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, atas lima pertuduhan itu.

Hukuman bagi Seksyen 16 akta itu pula memperuntukkan penjara lima tahun dan boleh disebat tidak kurang dua kali.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana ia kesalahan serius membabitkan muridnya.

Tetapi, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberi ikat jamin paling rendah kerana dia perlu menanggung tiga anak berusia satu hingga enam tahun.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dan tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Sungai Mati setiap bulan serta tidak boleh berhubung atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes disebut semula 16 Jan depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

BBerkaitan

Latest articles