SHAH ALAM: Semua sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana ditutup sepenuhnya susulan perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dalam satu kenyataan media pada Ahad memaklumkan, penutupan itu membabitkan semua sekolah di ketiga-tiga daerah berkenaan.
Bagaimanapun, sekolah di daerah lain di Selangor beroperasi seperti biasa.
Menurut kenyataan itu, pihak sekolah yang terlibat diminta memaklumkan perkara berkenaan kepada ibu bapa atau penjaga serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid sentiasa diutamakan.
Warga pendidikan dan ibu bapa turut dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti makluman rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkembangan kualiti udara serta arahan operasi sekolah.
JPNS memaklumkan, sebarang maklumat lanjut berkaitan operasi dan pembukaan semula sekolah akan disampaikan melalui saluran rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) dan jabatan berkenaan.










