KUALA LUMPUR: Nile Tech Sdn Bhd tidak diberikan akses kepada pangkalan data aplikasi MyJPJ menerusi penyediaan pautan perkhidmatan pembaharuan insurans kenderaan dalam aplikasi itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata, paparan perkhidmatan insurans dalam MyJPJ hanya disediakan dalam bentuk pautan yang akan membawa pengguna keluar daripada aplikasi berkenaan ke portal Nile Tech apabila dipilih.
“Semua urusan dan transaksi pembaharuan insurans dilaksanakan di portal berkenaan.
“Pautan ini tidak melibatkan integrasi sistem atau penghantaran data peribadi daripada MyJPJ kepada portal insurans tersebut. Tiada maklumat profil pengguna dihantar secara automatik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis pada Khamis bagi menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai proses pelantikan Nile Tech sebagai penyedia perkhidmatan insurans menerusi MyJPJ serta langkah perlindungan data peribadi pengguna.
Anthony berkata, Nile Tech dilantik sebagai penyedia platform bagi menawarkan saluran alternatif untuk pembaharuan insurans kenderaan bagi memudahkan urusan pengguna secara dalam talian, sekali gus mengurangkan keperluan berurusan di kaunter fizikal.
Menurutnya, pelantikan itu dilaksanakan melalui proses yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selain tertakluk kepada terma serta syarat ditetapkan.
” Syarikat tidak diberikan hak eksklusif untuk menyediakan perkhidmatan tersebut dan pelaksanaannya tidak melibatkan kos kepada Kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, Nile Tech turut dilantik sebagai ejen pemungut kerajaan bagi urusan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan pembayaran saman melalui Sistem e-Renewal.
Katanya, pelantikan sebagai ejen pemungut itu tertakluk kepada tatacara kewangan kerajaan yang memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan.
“Perjanjian berkenaan ditandatangani pada 24 Julai 2026 untuk tempoh dua tahun,” katanya.
Mengulas perlindungan data peribadi, Anthony berkata, sekiranya pengguna memilih untuk meneruskan urusan di portal Nile Tech, maklumat yang dimasukkan sendiri oleh pengguna adalah tertakluk kepada terma, syarat dan dasar privasi portal berkenaan.
“Oleh itu, penyediaan pautan ini tidak dengan sendirinya memberikan pihak ketiga akses kepada data peribadi yang disimpan dalam MyJPJ,” katanya.










