Tiada Arahan Tandatangan SD – Muhyiddin Buka Mulut Kemelut Di Perlis

KUALA LUMPUR: Krisis politik yang melanda Perlis terus menjadi tumpuan apabila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menafikan dakwaan kononnya wujud arahan daripada kepimpinan parti supaya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu menandatangani Akuan Berkanun (SD).

Menurut Muhyiddin, beliau mahupun mana-mana pemimpin Bersatu tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan berhubung perkara tersebut.

Sebaliknya, katanya, parti hanya memaklumkan nama calon Menteri Besar Perlis daripada Bersatu selepas menerima titah daripada Istana Perlis.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak parti akan mendapatkan penjelasan daripada ADUN-ADUN Bersatu di Perlis bagi mengetahui kedudukan sebenar isu yang mencetuskan kekeliruan itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Muhyiddin turut menegaskan Perikatan Nasional (PN) menjunjung sepenuhnya kuasa budi bicara Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dalam proses pelantikan Menteri Besar.

Beliau pada masa sama menzahirkan penghormatan PN terhadap kedudukan PAS sebagai parti yang menerajui gabungan itu di peringkat negeri Perlis.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau mengikuti rapat perkembangan terkini krisis politik di negeri itu susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Katanya, beliau yakin setiap parti dalam PN mempunyai mekanisme tersendiri untuk menangani sebarang isu secara berhemah demi memastikan kestabilan pentadbiran gabungan tersebut.

“Saya berharap kemelut berkaitan jawatan Menteri Besar ini dapat diselesaikan dalam semangat kekeluargaan PN,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles