Tiada Arahan Istana, Bubar DUN Johor Ikut Undang-Undang Tubuh Negeri – Onn Hafiz

​KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi kononnya pihak Istana mengeluarkan arahan bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

​Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor menegaskan, tindakan Mohd Puad memutarbelitkan proses perlembagaan adalah satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab sehingga mewujudkan persepsi negatif seolah-olah Institusi Diraja mencampuri urusan politik parti.

​Menjelaskan situasi sebenar, beliau berkata proses pembubaran tersebut dilakukan sepenuhnya mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan.

​”Apa yang saya jelaskan ialah pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

​”Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati. Pembubaran perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa setelah mendapat perkenan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

​Onn Hafiz berkata, beliau telah menghadap dan mempersembahkan perkara berkaitan pembubaran itu, sebelum mengumumkannya secara terbuka kepada rakyat selepas mendapat perkenan rasmi.

​Tegas beliau, tindakan mendapatkan titah perkenan adalah sebahagian daripada proses perlembagaan dan sama sekali tidak boleh disamakan dengan menerima arahan atau campur tangan politik.

​Beliau turut menghormati keputusan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu untuk meninggalkan parti, namun kesal dengan cara tuduhan tersebut dilemparkan.

​”Beliau berhak meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti. Namun, kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R (Agama, Bangsa, Raja), khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” katanya.

​Susulan kenyataan berbaur fitnah dan sensitif itu, Onn Hafiz memaklumkan bahawa UMNO Johor akan mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat.

​”UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa,” jelas beliau.

​Beliau turut menyeru semua pihak agar terus menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, serta menggesa agar institusi tertinggi itu tidak diperalatkan dalam mana-mana pertelingkahan politik demi kepentingan peribadi.

BBerkaitan

Latest articles