Teruja Mahu Pandu Bas Alasan Diberi Wanita Yang Diriba

JASIN: Tindakan seorang wanita duduk di riba pemandu bas ketika kenderaan sedang bergerak, seperti tular di media sosial, didakwa berpunca daripada perasaan teruja serta minatnya untuk memandu bas.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert selepas wanita berusia 21 tahun itu tampil memberi keterangan kepada pihak berkuasa, petang semalam.

Menurut beliau, wanita yang bekerja sebagai kerani kaunter tiket di sebuah syarikat bas dan berasal dari Kedah itu mengakui perbuatannya selain memaklumkan telah mengenali pemandu berusia 36 tahun dari Kuala Lumpur sejak lima bulan lalu.

Kedua-dua mereka telah dirakam percakapan selama kira-kira dua jam sebelum ditahan bagi membantu siasatan, dengan permohonan reman dijadualkan di Mahkamah Majistret Jasin hari ini.

Lee berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan berdasarkan pengakuan awal, kejadian itu berlaku hanya beberapa minit sebelum bas memasuki laluan utama lebuh raya.

Terdahulu, pasangan berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin sekitar jam 4.30 petang dengan menaiki Proton Persona yang dipandu individu dipercayai ahli keluarga bagi tujuan siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles