Gunung Anak Krakatau Mula Meletus, 31 Penerbangan Ke Jakarta Dibatalkan

KUALA LUMPUR: Letusan Gunung Anak Krakatau yang menghasilkan abu vulkanik mencetuskan gangguan besar kepada perjalanan udara apabila 31 penerbangan dari beberapa lapangan terbang di seluruh negara ke Jakarta dibatalkan hari ini.

Pembatalan itu susulan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta berikutan keadaan abu vulkanik daripada aktiviti letusan gunung berapi berkenaan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan, setakat tengah hari tadi, pembatalan yang dilaporkan syarikat penerbangan membabitkan penerbangan dijadualkan antara 6.45 pagi hingga 11.55 malam.

KLIA merekodkan jumlah pembatalan tertinggi dengan 21 penerbangan, masing-masing 15 di Terminal 1 dan enam di Terminal 2.

Selain itu, enam penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang turut dibatalkan, diikuti dua di Subang serta masing-masing satu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Kota Bharu.

“Pembatalan ini dilaporkan oleh syarikat penerbangan setakat tengah hari ini,” menurut MAHB kepada Bernama.

Gangguan berkenaan berlaku ketika Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda terus menunjukkan aktiviti letusan, dengan laporan menyatakan berlaku pancutan lava selain bunyi dentuman dan gegaran yang kedengaran dari pos pemerhatian.

Letusan bermula pada 11.07 malam waktu tempatan Jumaat dan berterusan sepanjang tempoh pemerhatian sehingga 6 pagi semalam.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia melaporkan abu gunung berapi dikesan mencapai ketinggian sehingga 6,000 meter di bahagian Jawa, manakala kepulan abu dilaporkan mencecah sehingga 15,000 meter di bahagian Sumatera dan beberapa kawasan Banten di Jawa.

Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sebelum ini digantung sehingga 1.30 tengah hari waktu tempatan hari ini, bersamaan 2.30 petang waktu Malaysia.

Sementara itu, pengurusan KLIA menerusi akaun media sosial rasminya menasihatkan penumpang yang terjejas supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual penerbangan.

Kawasan rehat turut disediakan di KLIA bagi membolehkan penumpang yang terjejas menunggu perkembangan selanjutnya.

BBerkaitan

Latest articles