Terlalu Penat, Lelaki Lemas Ketika Sedang Bantu Mangsa Banjir

Rata-rata warganet menzahirkan takziah terhadap pemergian seorang lelaki yang lemas selepas terjatuh dari perahu ketika dalam perjalanan menghantar mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam kejadian di Kampung Manjor, Kuala Krai, dalam kejadian dua hari lalu.

Mayat Mohammad Hakimin Rahim, 20, dijumpai oleh ahli keluarganya di dasar sungai di tempat dia dilaporkan terjatuh dari perahu jam 8.30 pagi semalam.

Dipercayai kejadian lemas berlaku pada jam 10 malam, apabila mangsa tiba-tiba pengsan lalu terjatuh ke dalam sungai sewaktu mendayung perahu ketika membawa dua penumpang untuk ke PPS berdekatan.

Mangsa dikatakan terlalu kepenatan dan mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk semasa membantu penduduk kampung sejak dari awal pagi sehingga malam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.07 malam dan seramai lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dan ditamatkan pada jam 12.31 pagi tadi berikutan keadaan gelap selain hujan dan air mula menaiki beberapa kawasan rendah.

“Bagaimanapun ketika pihak kami bersiap untuk menyambung operasi SAR mangsa pada pagi ini namun dimaklumkan mangsa sudah dijumpai oleh ahli keluarganya,” katanya.

Ada juga pengguna laman sosial mahu nama Mohamad Hakimin disebut semasa solat Jumaat hari ini kerana sumbangannya membantu mangsa yang terjejas akibat banjir.

BBerkaitan

Latest articles