BENTONG: Semangat kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran yang ada dalam Keluarga Malaysia mampu melonjakkan dan memartabatkan ekonomi usahawan wanita di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam ‘Menjalin Interaksi Melakar Memori’ anjuran Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita), malam tadi.
“Saya mengajak kesemua ahli persatuan usahawan wanita mengekalkan momentum sedia ada.
“Dengan adanya momentum itu, usaha memartabatkan ekonomi wanita juga lebih jitu,” katanya.
Hadir sama adalah Presiden Usahanita, Datuk Faridah A Jabbar.
Dalam masa yang sama, Ismail Sabri menggesa, usahawan wanita untuk kreatif menjalankan perniagaan termasuk beralih kepada kaedah dalam talian terutama ketika keadaan negara berdepan pandemik COVID-19.
Beliau berkata, selain itu pembungkusan juga perlu menarik bagi membawa perniagaan ke peringkat nasional dan global.
“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan Keluarga Malaysia akan terus memberikan bantuan diperlukan oleh usahawan wanita, tidak mungkin kita akan tinggalkan mereka di belakang,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan meluluskan sumbangan RM250,000 kepada Usahanita bagi persatuan itu menjalankan kegiatan keusahawanan untuk ahlinya.
“Saya berbangga dan mengucapkan syabas kepada Usahanita yang berada 37 tahun dan jasanya amat besar melahirkan usahawan wanita di negara ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata, persatuan itu menjadi tonggak utama dalam membentuk dan membimbing usahawan wanita di negara ini.
Tambahnya, prestasi persatuan yang berjaya mewujudkan peluang dan membimbing 35,000 ahli di bawah naungannya itu amat membanggakan.
“Berhubung permintaan puan presiden untuk pelantikan senator dari kalangan wakil usahawan wanita, kita akan lihat bagaimana boleh bantu nanti,” katanya.