HANGZHOU: Pakatan Harapan (PH) masih belum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu kini telah dibubarkan.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan berhubung perkara itu diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa.
Menurutnya, PH terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak yang bersedia berbincang, namun keputusan akhir mengenai bentuk kerjasama akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya PH.
“Jangan sombong. Kalau orang kata sedia bincang, kita bincang. Itu cara politik.
“Ada orang kata tak ada, bincang pun salah. Setuju atau tidak setuju terpulang kepada jawatankuasa,” katanya kepada media Malaysia ketika dalam perjalanan dari Shanghai ke Hangzhou menggunakan kereta api berkelajuan tinggi hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR turut mengesahkan rundingan telah diadakan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun menegaskan tiada sebarang keputusan dicapai setakat ini.
“Dengan Bersatu pun kita bincang, tak ada lagi keputusan. Saya serah kepada jawatankuasa. Saya tumpu kepada urus negara,” katanya.
Perkembangan itu berlaku ketika persiapan menghadapi PRN Melaka memasuki fasa baharu selepas DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa hari ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula mengesahkan telah menerima notis rasmi pembubaran DUN Melaka dan menetapkan bahawa pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran. Mesyuarat khas bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRN Melaka akan diumumkan kemudian.
Dengan tempoh pilihan raya semakin hampir, kedudukan kerjasama politik PH dan parti-parti lain kini menjadi antara perkara utama yang masih menunggu keputusan rasmi.










