SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan Terus Bertugas Meski Diumum Digantung

SEREMBAN: Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, kekal menjalankan tugas seperti biasa susulan pendirian Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kedudukan mereka.

Zafir berkata, beliau mematuhi arahan KSN, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar supaya terus melaksanakan tanggungjawabnya di Negeri Sembilan.

Menurutnya, setakat ini beliau belum menerima sebarang surat rasmi yang memaklumkan mengenai penggantungan tugasnya, selain kenyataan media yang dikeluarkan Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Setakat ini, saya tidak menerima apa-apa surat rasmi berhubung penggantungan tugas selain kenyataan media yang dikeluarkan oleh menteri besar,” katanya.

Muzalmah turut mengambil pendirian sama dengan hadir bertugas di Wisma Negeri seperti biasa.

Beliau berkata, selagi menerima arahan daripada Peguam Negara untuk meneruskan tugas di Negeri Sembilan, beliau akan melaksanakan tanggungjawab seperti ditetapkan.

“Ya, saya bekerja seperti biasa dan tidak dihalang memasuki pejabat. Selagi Peguam Negara mengarahkan saya terus bekerja di sini, saya akan laksanakan tugas seperti biasa.

“Saya juga tidak menerima surat rasmi mengenai penggantungan tugas,” katanya.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan memutuskan penggantungan tugas kedua-dua pegawai berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, sebelum ini memaklumkan Pegawai Kewangan Negeri, Masri Razali akan mengambil alih tugas SUK sehingga penyandang baharu dilantik oleh KSN.

Bagi tugas Penasihat Undang-Undang Negeri pula, peguam bela dan peguam cara, Fahmi Adilah, dinyatakan akan memberikan nasihat perundangan sementara menunggu pelantikan penyandang baharu oleh AGC.

Bagaimanapun, AGC kemudiannya menegaskan bahawa MMKN Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari sudut undang-undang untuk menggantung tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Menurut AGC, urusan berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas kedua-dua jawatan berkenaan berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

AGC berkata perkara itu diperuntukkan di bawah Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Perkembangan terbaharu itu sekali gus menyaksikan Zafir dan Muzalmah meneruskan tugas masing-masing sementara isu bidang kuasa berhubung keputusan penggantungan tersebut menjadi pertikaian antara pihak kerajaan negeri dengan agensi Persekutuan berkaitan.

BBerkaitan

Latest articles