KUALA LUMPUR: Cadangan menambah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat dilihat mampu mengembalikan keseimbangan kuasa yang menjadi antara asas penting pembentukan Malaysia pada 1963.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Salleh Said Keruak berkata, kedua-dua negeri berkenaan sewajarnya mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen, selaras dengan perlindungan serta semangat yang mendasari pembentukan Persekutuan Malaysia.
Bendahari Umno Sabah itu berkata, kedudukan Sabah, Sarawak dan Singapura pada ketika Malaysia dibentuk memainkan peranan penting dalam mewujudkan keseimbangan kuasa di Parlimen.
Katanya, daripada 160 kerusi Dewan Rakyat ketika itu, Tanah Melayu diperuntukkan 105 kerusi atau kira-kira 65 peratus, manakala Sarawak memperoleh 24 kerusi, Sabah 16 dan Singapura 15 kerusi.
Menurut beliau, susunan berkenaan memastikan Tanah Melayu tidak mempunyai majoriti dua pertiga secara bersendirian, sekali gus memerlukan persetujuan pihak lain bagi sebarang pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan majoriti tersebut.
Bagaimanapun, Salleh berkata, keseimbangan itu berubah selepas Singapura keluar daripada Malaysia apabila 15 kerusi milik republik berkenaan tidak diagihkan semula kepada Sabah dan Sarawak.
“Ini bukan sekadar soal memberikan beberapa kerusi tambahan kepada Sabah dan Sarawak. Ia adalah usaha memulihkan keseimbangan penting yang berkait dengan pembentukan asal Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, usaha mengembalikan perwakilan Sabah dan Sarawak kepada sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen tidak seharusnya dilihat sebagai langkah yang boleh melemahkan Persekutuan.
“Memulihkan keseimbangan satu pertiga kerusi Parlimen bukan bertujuan melemahkan Malaysia. Sebaliknya, ia bertujuan mengukuhkan perkongsian Persekutuan serta menghormati asas yang menjadi landasan pembentukan Malaysia,” katanya.
Ketika ini, Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen manakala Sarawak 31 kerusi, menjadikan keseluruhan 56 kerusi atau sekitar 25.2 peratus daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.
Jumlah itu bermakna kedua-dua negeri berkenaan memerlukan tambahan 18 kerusi untuk mencapai perwakilan satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen, berdasarkan jumlah kerusi semasa.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Perlembagaan Persekutuan akan dipinda bagi membuka ruang kepada penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Anwar berkata, langkah itu penting bagi memastikan kedua-dua negeri berkenaan memperoleh perwakilan yang lebih besar di Parlimen.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan penambahan kerusi Parlimen di Semenanjung, namun menegaskan perkara itu tidak seharusnya menghakis keperluan untuk meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak.










