UniKL Mohon Maaf, Akui Kekhilafan Persembahan Hiburan Ketika Konvokesyen

KUALA LUMPUR: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memohon maaf atas kekhilafan berhubung segmen persembahan hiburan yang dipersembahkan semasa Majlis Konvokesyen Ke-23 universiti itu baru-baru ini.

Pengurusan UniKL dalam kenyataan pada Sabtu berkata, pihaknya mengambil maklum keprihatinan masyarakat berhubung perkara berkenaan dan memandang serius teguran yang diberikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, sebagai institusi pendidikan di bawah MARA dan sebahagian daripada Kumpulan MARA Corp, UniKL bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara yang berlaku.

“Majlis Konvokesyen adalah upacara kemuncak pengiktirafan ilmu yang wajar dipelihara adab dan kesantunannya.

“Oleh yang demikian, UniKL memohon maaf atas kekhilafan tersebut dan akan membentangkan langkah-langkah penambahbaikan kepada pihak MARA dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, UniKL turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh graduan yang menerima pengiktirafan pada Majlis Konvokesyen Ke-23.

Menurut kenyataan itu, kejayaan graduan terbabit adalah hasil usaha gigih serta pengorbanan mereka selama bertahun-tahun.

“Kejayaan mereka kekal sebagai pencapaian yang dibanggakan,” menurut kenyataan itu.

BBerkaitan

Latest articles