Tahap Kesihatan Ahmad Zahid Semakin Baik

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan kembali memulakan tugasannya seperti biasa, memandangkan keadaan kesihatannya yang semakin baik.

Perkembangan itu dikongsikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sempat menziarahi Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di kediamannya sebelum hadir ke program pagi tadi.

“Saya ingin sampaikan salam daripada Datuk Seri Ahmad Zahid yang sekarang bertambah sihat, Alhamdulillah. Saya sempat bersama beliau sekejap tadi di rumahnya.

“Insya-Allah, beliau akan memulakan tugas sedikit masa lagi. Kalau ikutkan beliau mahu datang ke sini (KUD) tapi saya bagi arahan tidak boleh hadir.

“Sebab dia perlu masa berehat sedikit untuk memulakan dan meneruskan usaha dan kegiatan kita di kementerian,” katanya ketika memulakan ucapan perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD)@Putrajaya di sini hari ini.

Ahmad Zahid, dalam satu hantaran di Instagram mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhannya selepas menjalani pembedahan.

“Seperti dinasihatkan doktor, saya dalam tempoh berehat sebelum kembali bertugas. Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mendoakan dan memberikan sokongan.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan serta menempatkan kita semua dalam rahmat dan kasih-Nya,” katanya.

Pada Khamis lepas, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah memuat naik catatan di Facebook rasminya bagi memaklumkan bahawa beliau dalam tempoh berehat selepas selesai menjalani satu prosedur pembedahan pada 16 November lepas.

BBerkaitan

Latest articles