Syed Rosli Desak Pendaftar Mahkamah Tinggi Mohon Maaf Kepada Najib, Agong

KUALA LUMPUR: Permohonan maaf secara rasmi kepada Datuk Seri Najib Razak dan Yang di-Pertuan Agong perlu dibuat susulan kesilapan yang dilaporkan dalam dokumen perintah mahkamah berkaitan bekas Perdana Menteri itu.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail berkata, Pendaftar Mahkamah Tinggi perlu segera menjelaskan bagaimana dokumen rasmi yang begitu penting boleh mengandungi pelbagai kesilapan penulisan, format dan teknikal.

Beliau menegaskan, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan kewibawaan institusi kehakiman, hak individu serta pelaksanaan titah diraja.

“Kesilapan dalam dokumen rasmi yang melibatkan perkara sebesar ini memerlukan penjelasan, pembetulan dan pertanggungjawaban yang sewajarnya.

“Jangan biarkan persoalan ini berlarutan sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman dan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak bertanggungjawab mengenal pasti punca kesilapan serta individu yang menyediakan dan menyemak dokumen berkenaan melalui proses sewajarnya.

Katanya, segala kesilapan perlu diperbetulkan segera mengikut prosedur undang-undang dan kehakiman, selain permohonan maaf rasmi kepada Najib serta Yang di-Pertuan Agong sebagai tanda pertanggungjawaban.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat berhak mendapat penjelasan, manakala setiap urusan kehakiman yang berkaitan institusi diraja perlu dilaksanakan dengan penuh ketelitian dan penghormatan.

BBerkaitan

Latest articles