KUALA LUMPUR: Tokoh korporat terkenal negara, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary kini muncul sebagai pemegang saham utama tidak langsung dalam Eco World Development Group selepas penstrukturan pemilikan membabitkan syarikat berkaitan kumpulan itu.
EcoWorld dalam satu kenyataan memaklumkan perubahan tersebut berlaku susulan pemindahan keseluruhan saham milik Datuk Leong Kok Wah dalam Syabas Tropikal Sdn. Bhd., syarikat yang memiliki sepenuhnya Sinarmas Harta Sdn. Bhd.
Sinarmas Harta ketika ini memegang kira-kira 969.9 juta saham dalam EcoWorld, mewakili sekitar 30.1 peratus daripada modal saham terbitan syarikat pemaju berkenaan.
Pengerusi Eksekutif EcoWorld, Liew Kee Sin menzahirkan penghargaan kepada Kok Wah atas sokongan yang diberikan sepanjang lebih sedekad bersama syarikat itu.
Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan kemasukan Syed Mokhtar sebagai pemegang saham utama baharu dan optimis kerjasama itu mampu memperkukuh lagi kedudukan EcoWorld dalam industri hartanah.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengannya untuk membawa EcoWorld ke tahap lebih tinggi pada masa depan,” katanya.
Ketika ini, EcoWorld mempunyai simpanan tanah seluas kira-kira 4,770 hektar di beberapa lokasi strategik termasuk Lembah Klang, Iskandar Malaysia, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM100 bilion.
Syarikat itu turut disokong lima teras utama perniagaan iaitu Eco Townships, Eco Rise, Eco Hubs, Eco Business Parks dan QUANTUM yang merangkumi pelbagai segmen pasaran hartanah.
Jenama EcoWorld juga semakin berkembang di peringkat antarabangsa menerusi projek yang dijalankan oleh EWI Capital di United Kingdom dan Australia sepanjang tempoh 2015 hingga 2025.
Syed Mokhtar pula dikenali sebagai antara usahawan paling berpengaruh di negara ini dengan empayar perniagaan melibatkan sektor pelabuhan, logistik, automotif, infrastruktur dan pembuatan.
Pengaruh korporat beliau turut diperkukuh menerusi pegangan strategik dalam syarikat utama seperti MMC Corporation dan DRB-HICOM yang menjadi pemain penting dalam ekosistem industri dan pengangkutan negara.










