KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan penghijrahannya ke Parti Bersama Malaysia bukan medan mencetuskan permusuhan politik, sebaliknya membuka ruang kepada budaya politik lebih matang dan berprinsip.
Menurut beliau, keputusan seseorang untuk kekal atau meninggalkan PKR tidak sepatutnya dijadikan ukuran kesetiaan membuta tuli sehingga melabel pihak berbeza pendirian sebagai musuh politik.
Rafizi berkata, beliau masih mempunyai ramai rakan dalam PKR dan menghormati keputusan mana-mana individu yang memilih untuk terus bersama parti itu kerana setiap ahli mempunyai pertimbangan tersendiri dalam menentukan hala tuju politik masing-masing.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut menegaskan beliau bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad tidak mahu penghijrahan mereka ke Bersama dilihat seperti gerakan politik berasaskan “siapa tidak bersama dianggap lawan”.
“Saya rasa itu membezakan kami daripada kartel Azmin Ali dulu (dalam PKR sebelum ini), di mana ‘anda sama ada bersama kami atau menentang kami’,” katanya dalam audio siar ‘Lebih Masa’ yang dihoskan Nik Nazmi.
Rafizi berkata demikian dipercayai merujuk kepada gerakan yang diketuai Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR yang ketika itu didakwa mendalangi episod perpecahan dalaman parti yang akhirnya membawa kepada Langkah Sheraton pada 2020.
Dalam masa sama, Rafizi mengakui beliau meninggalkan PKR kerana merasakan parti itu sudah jauh berubah dan tidak lagi sama seperti ketika mula disertainya dahulu.
Mengulas kekuatan politik semasa, beliau berpandangan Pakatan Harapan masih mampu meraih antara 80 hingga 90 kerusi Parlimen walaupun berada pada tahap paling lemah, hasil sokongan kelompok pengundi progresif yang dianggarkan merangkumi 35 hingga 40 peratus pengundi negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sokongan itu bukan kerana kekuatan individu tertentu semata-mata, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, tetapi lebih kepada kecenderungan politik progresif dalam masyarakat.
Menurut Rafizi, Parti Bersama Malaysia ditubuhkan bagi menawarkan alternatif baharu kepada kelompok pengundi itu, khususnya generasi muda yang mahukan politik berasaskan idea, integriti dan kejujuran.
Beliau turut mengakui Bersama mungkin berdepan laluan sukar pada PRU16, namun percaya parti itu mampu membina gelombang lebih besar pada masa depan sekiranya kekal konsisten dengan perjuangan asalnya.










